KUALA LUMPUR: Pelajar warganegara Malaysia yang menetap di Golok, Thailand kini boleh memasuki Malaysia bagi menghadiri sekolah melalui tawaran pasport terhad atau pas sempadan serendah RM10 setahun.
Langkah ini diambil bagi memastikan kelangsungan pendidikan hampir 500 murid dan pelajar yang berulang alik setiap hari ke sekolah di Rantau Panjang, Kelantan.
Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan, pengenalan pasport terhad mampu milik ini selaras dengan pelaksanaan larangan penggunaan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang bermula pada 1 Disember depan.
Sekiranya tidak dipatuhi, kesemua individu yang ditahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu bertujuan memudahkan pelajar yang terjejas akibat penguatkuasaan tersebut.
“Penguatkuasaan larangan penggunaan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok itu menyebabkan hampir 500 murid dan pelajar Malaysia yang tinggal di Golok, Thailand, perlu menggunakan laluan sah untuk ke sekolah bermula 1 Disember depan.
“Ini bermakna mereka perlu melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang dan menjalani pemeriksaan imigresen sama seperti dibuat di mana-mana pintu keluar masuk negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan pelajar ke sekolah, waktu operasi ICQS di Rantau Panjang akan diawalkan sejam lebih awal, iaitu bermula pada jam 6 pagi berbanding jam 7 pagi.
Kata Zakaria, pihaknya turut mempertimbangkan pembukaan laluan khas untuk pelajar di ICQS bagi memastikan mereka tidak tersekat dalam kesesakan yang boleh mengganggu perjalanan ke sekolah.
“Keputusan ini bagaimanapun bergantung kepada persetujuan pihak berkuasa Thailand kerana ia membabitkan pengurusan sempadan antara dua negara,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Airtimes melaporkan, pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok menawarkan caj tambang kepada pelanggan dari Thailand dan Malaysia serendah RM1 hingga RM4 bagi perjalanan sehala merentas sempadan.
Ini termasuk murid serta pelajar warganegara Malaysia yang menetap bersama keluarga di negara jiran.
Namun, mereka memilih untuk meneruskan pendidikan di sekolah di sini kerana pelbagai kelebihan, termasuk sistem pendidikan yang lebih baik. -airtimes.my
#SungaiGolok #Sempadan #Malaysia #Thailand #RentasSempadan
