KUALA LUMPUR, 18 Okt – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut pekerja atau jemaah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) rangkaian syarikat gabungannya bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kumpulan GISBH didapati masih meneruskan pegangan serta amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (SRC) yang difatwakan sesat sebelum ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, GISBH turut didapati menyeleweng dalam aspek akidah antaranya mempercayai pengasas Aurad Muhamadiah, Syeikh Muhammad Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahadi.
Mohamad berkata, keputusan yang dibuat bersandarkan maklumat terperinci dan bukti sahih berkaitan GISBH di Pulau Pinang yang diperoleh daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan pihak polis negeri.
Langkah itu menjadikan Pulau Pinang negeri keenam mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH bercanggah menyeleweng ajaran Islam, mengikuti jejak langkah Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.
“Mereka juga meyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat, iaitu air basuhan anggota badan pemimpin GISBH dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat,
“Dari sudut muamalah ekonomi pula, GISBH mengamalkan ekonomi mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru, beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa mengharamkan sebarang penyebaran, pengajaran atau sokongan terhadap ajaran dan amalan seumpama GISBH serta dilarang menyimpan, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa bahan berkaitan ajaran sesat itu.
Tambahnya, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang turut mengharamkan sebarang bantuan kepada mana-mana pihak berpotensi menyebarkan ajaran itu.
“Mana-mana ahli GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan amalan tersebut dengan segera,” ujarnya lagi.
Mohamad turut menjelaskan, kerajaan negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela dalam usaha membantu memulihkan akidah jemaah GISBH.
Ujarnya, KDH belum menerima ahli GISBH untuk proses pemulihan akidah namun kerajaan negeri melalui agensi dan jabatan berkaitan akan memastikan pelan pemulihan akidah dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh kepada ahli GISBH di Pulau Pinang.-airtimes.my
#GISBH #PulauPinang #ajaransesat #Malaysia #airtimes
