KUALA LUMPUR, 18 OKT – Konflik di Laut China Selatan ketika ini masih terkawal dan boleh diselesaikan secara diplomasi.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, tindakan yang dilakukan oleh kapal-kapal China di Laut China Selatan terhadap Malaysia masih boleh diterima.
“Provokasi yang dilakukan oleh mereka tidaklah seperti tindakan mereka terhadap Filipina atau Vietnam.
“Jadi tindakan mereka terhadap kita masih boleh diterima dan boleh diselesaikan secara diplomasi,” katanya ketika sesi sidang media selepas Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut Ke-19 di Auditorium Kementah, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Jelasnya lagi, sebanyak 5 negara terlibat dalam konflik di Laut China Selatan itu dan masing-masing mempunyai tuntutan di kawasan perairan berkenaan.
