KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan ucapan beliau ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini, sebagai fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja atau kecenderungan menghasut.
Bekas Perdana Menteri itu juga percaya kenyataannya berkenaan tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut,
“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, pada Isnin.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh akan dipanggil memberi keterangan pada Selasa, berhubung ucapan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.
Menurut Razarudin, sehingga Isnin, polis menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Pada Isnin, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Sehubungan itu, Istana Pahang membuat satu laporan polis terhadap Muhyiddin, berhubung kenyataannya tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Ahad malam.
Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, kenyataan Muhyiddin itu dianggap berbahaya kerana boleh menghasut rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat.
Ia juga bersifat fitnah dan menghasut selain menyentuh isu 3R. Malah, kenyataan tersebut jelas menjejaskan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, media melaporkan Ketua Polis Negara Razarudin Husain hari ini berkata, proses rakaman percakapan Muhyiddin Yassin berhubung ucapan itu ditanggungkan pada esok (Rabu) kerana peguam Pengerusi PN berkenaan masih berada di luar negara.-airtimes.my
#semasa #airtimes #Muhyiddin ##pembangkang #airtimes #Malaysia