KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Istana Pahang membuat satu laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung kenyataannya yang menyentuh isu agama, raja, dan kaum (3R) semasa kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, baru-baru ini.
Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, laporan tersebut dibuat selepas menonton rakaman video di platform YouTube yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun.
Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dianggap berbahaya kerana boleh menghasut rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat.
“Ia juga bersifat fitnah dan menghasut selain menyentuh isu 3R. Malah, kenyataan tersebut jelas menjejaskan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,
“Disebabkan itu saya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan adil, tegas dan tanpa kompromi dikenakan ke atas Muhyiddin,” kata Amir Syaffiq.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Ahad malam.
Sebelum ini, Amir Syaffiq menjelaskan, dalam rakaman tersebut, Muhyiddin didakwa menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah, tidak menjemputnya ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.
“Jadi, kenyataan ini adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah (sebagai Agong pada ketika itu) seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri sedangkan pelantikan dibuat dengan teliti serta mengikut Perlembagaan,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Sehubungan itu, Tengku Hasanal mahu pihak polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).-airtimes.my
#semasa #DaulatTuanku #Muhyiddin #3R #polis #istana
