KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Badrul Hisham Shaharin mendakwa terdapat pencanggahan dalam siasatan yang dikenakan terhadap dirinya.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard menjelaskan, beliau telah ditahan dibawah 3 kertas siasatan iaitu Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.
Menurutnya, kedua-dua siasatan itu adalah bercanggah. Akta SKMM bagi menyiasat membabitkan kes fitnah, manakala OSA pula menyentuh dokumen rahsia.
“Saya disiasat dibawah OSA. Adakah dokumen ini adalah rahsia atau fitnah? Macam mana boleh buka kedua-dua kertas siasatan kalau tidak pastikan bahan kes benar atau fitnah?
“Selepas direman 2 hari, saya keluar dan berbincang dengan peguam. Kertas (bukti) ini adalah betul (tulen) dan bukan termaktub dalam OSA. Maknanya saya telah ditahan untuk tiada apa-apa,
“Dokumen OSA ada tanda Akta Rahsia Rasmi tetapi dokumen ini hanya ada tanda ‘Sulit Darihal Anggota’. Jelas ia bukan dokumen sulit OSA,
“Adakah benda sulit dan rahsia ini digunakan untuk menutup rasuah dan korupsi tertentu,” jelasnya kepada pemberita, hari ini.
Pada 29 Julai lalu, Chegu Bard direman 2 hari bagi membantu siasatan dakwaannya berhubung isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Jelasnya, sebelum ditahan reman, beliau terdahulu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk membuat laporan mengenai isu rasuah membabitkan pegawai tinggi tersebut.
Namun, Chegu Bard berkata, sehingga kini siasatan berkaitan laporan isu rasuah TLDM itu masih tidak dijalankan.
“Saya buat laporan (tentang rasuah) tetapi sampai hari ini laporan itu tidak disiasat,
“Saya adalah mangsa, laporan yang saya buat adalah bertujuan untuk meminta agar satu siasatan atau tindakan dibuat untuk membuka kertas siasatan yang salah, tangkapan yang salah dan intimidasi sengaja kerana pendedahan rasuah,
“Saya desak keadilan dan tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab di sebalik intimidasi ini,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta PDRM menyatakan pendirian dan membuat permohonan maaf atas intimidasi serta menyerahkan semula kertas yang telah dirampas darinya.
Sebelum itu, Chegu Bard menyatakan beliau telah menerima dokumen yang didakwa mempunyai kaitan kes rasuah berkaitan individu berprofil tinggi dalam TLDM.
Menurutnya, pendedahan tersebut dibuat dengan niat baik di akaun media sosial beliau pada 22 Julai 2024.
“Dalam hantaran itu, saya telah memadam nama individu terbabit,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Chegu Bard mengulas usahanya itu, walaupun telah berhadapan dengan tindakan undang-undang, telah mencapai objektifnya.
“Pada 1 Ogos lalu, pihak TLDM telah membuat serah terima tugas yang jarang-jarang berlaku iaitu kerana terpaksa mengumumkan Pemangku Panglima Tentera Laut. Penama tersebut tidak dinamakan sebagai Panglima Tentera Laut,
“Saya percaya dan yakin ia adalah hasil sokongan orang ramai. Media khususnya memainkan peranan yang sangat penting dalam menghangatkan cerita ini sehingga akhirnya korupsi dapat dihentikan pergerakkan mereka,
“Tahniah kepada rakyat Malaysia, kita telah menyelamatkan sempadan laut negara yang sangat penting untuk kedaulatan negara,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #OSA #SKMM #rasuah #tldm #pegawaitinggi #airtimes #chegubard #Malaysia