KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kira-kira 500,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibekalkan dengan Kad Digital Veteran pelbagai fungsi, sebagai transformasi digital bagi menggantikan kad fizikal sekali gus memudahkan akses perkhidmatan kepada seluruh warga veteran ATM.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Zambery Jefry Darus berkata, JHEV akan menyediakan kad digital itu, dan akan dipaparkan dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0, kepada seluruh veteran ATM meliputi pasangan serta balu.
“Veteran dan juga pasangan mereka serta balu yang layak, boleh gunakan kad ini untuk kegunaan hospital dan bank misalnya, tanpa perlu menunjukkan ID fizikal (seperti) sebelum ini.
“Data mereka ada disimpan di situ (kad digital) dan sangat-sangat selamat, tidak perlu lagi menunjukkan kad identiti fizikal,” katanya pada sidang media penganjuran Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024, di Wisma ATM di sini pada Selasa.
Tambah beliau pembangunan kad tersebut yang menggunakan teknologi penyulitan tertinggi 4096 bits TrustPattern Code akan meningkatkan keselamatan kad tersebut untuk mengesahkan status Veteran ATM.
Beliau berkata penggunaan teknologi e-KYC pula akan memudahkan pendaftaran kemasukan veteran ke hospital dan pusat dialisis, secara digital.
“Teknologi itu juga meliputi fungsi pembayaran tanpa tunai, diskaun harga, rebat tunai dan lain-lain,” katanya.
Mejar Jeneral Datuk Zambery berkata, inisiatif tersebut masih dalam proses pembangunan dan sedang diuji, serta dijangka diperkenalkan kepada para veteran ATM pada pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) pada 24 September.
Mengenai penganjuran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2024 bertemakan ‘Meraikan Bintang Metamorfosis Hadapan’ itu, beliau berkata ia merupakan usaha jitu JHEV mencapai sasaran kutipan RM2 juta ringgit bagi Tabung Pahlawan 2024, untuk menampung kebajikan kira-kira 500,000 veteran ATM.
Beliau berkata penggunaan hasil kutipan itu nanti, akan memberi tumpuan buat veteran ATM tidak berpencen dan uzur, meliputi keperluan kebajikan seperti lampin pakai buang dan susu warga emas.- Bernama
#airtimes #veteranATM #kaddigital #vibes #pertahanan