KUALA LUMPUR, 27 JUL- Malaysian Community Care Foundation (MCCF) telah memandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan PEMANGKIN untuk memperkukuhkan usaha membantu golongan asnaf dan B40 melalui Program Kasih MCCF.
Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, Program Kasih MCCF direka khas untuk membantu golongan memerlukan dalam membangunkan pendidikan di peringkat global.
“Program ini akan menyediakan bantuan pendidikan yang komprehensif, termasuk biasiswa, tunjuk ajar dan sokongan moral agar anak-anak daripada golongan ini dapat mencapai potensi mereka yang sebenar.
“Program Kasih MCCF juga memberi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik untuk berjaya dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional (TVET),” katanya pada Rabu.
Menurut Halim lagi, kerjasama antara Yayasan MCCF dan Yayasan PEMANGKIN adalah bukti komitmen bersama untuk memperkasakan tahap keilmuan di kalangan anak-anak asnaf dan golongan B40.
“Dengan adanya MoU ini, Yayasan MCCF dan Yayasan PEMANGKIN berazam untuk melaksanakan lebih banyak program yang bersifat sosio-ekonomi, kebajikan, kesejahteraan, dan pendidikan untuk pelbagai komuniti.
“Majlis tandatangan MoU ini menandakan satu langkah besar ke arah membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera,” ujar beliau.
Oleh itu, Yayasan MCCF dan Yayasan PEMANGKIN yakin bahawa kerjasama ini akan menghasilkan impak yang besar dan berkesan dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah untuk golongan yang memerlukan. – airtimes.my
