Home Pertahanan dan KeselamatanKementerian Pertahanan harap UPNM pastikan kes Zulfarhan tidak berulang

Kementerian Pertahanan harap UPNM pastikan kes Zulfarhan tidak berulang

by Bernama
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Kementerian Pertahanan berharap agar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memastikan kes kematian seperti yang membabitkan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak berulang pada masa akan datang.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, walaupun kawal selia universiti itu bukan bawah bidang kuasa kementeriannya, UPNM bertanggungjawab mengeluarkan graduan tentera dan awam untuk keperluan pertahanan negara.

“UPNM sebagai universiti pertahanan ialah tempat kita hantar dan pastikan kadet-kadet untuk keperluan tentera,

“Kampus itu terletak dalam kawasan kita dan visinya datang daripada kita. Jadi dalam hal ini kita juga beri perhatian dan kita juga sampaikan kepada pihak pengurusan universiti supaya mereka pastikan ini tidak berlaku di masa hadapan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Gombak pada Ahad.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan mendapati enam bekas penuntut UPNM bersalah membunuh Zulfarhan tujuh tahun lepas dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

UPNM yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 21 Jun 2006 berada bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Bagaimanapun, Khaled percaya UPNM telah mengambil tindakan sewajarnya susulan kes berkenaan.

“Itu berlaku pada 2017, saya percaya selepas itu tiada lagi perkara-perkara ini berlaku maknanya mungkin tindakan-tindakan sewajarnya telah diambil pihak universiti,”katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak melakukan tabiat seperti membuli, bagi memastikan persekitaran sihat dalam pembelajaran dapat diwujudkan.-Bernama

#pertahanan #UPNM #kadet #zulfarhan #buli #airtimes

Related Articles

Leave a Reply