Home Semasa PRK Sungai Bakap: Kerajaan Perpaduan hormati suara rakyat, terima kekalahan

PRK Sungai Bakap: Kerajaan Perpaduan hormati suara rakyat, terima kekalahan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jul – Gabungan Kerajaan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat di DUN itu yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani.

“Gabungan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon PH pada PRK Sungai Bakap yang telah berlangsung dengan lancar dan aman,

“Kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” katanya menerusi catatan di laman Facebook, pada Ahad.

Menurutnya, dengan dasar dan komitmen yang jitu, gabungan Kerajaan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan.

Pada Sabtu, calon Perikatan Nasional (PN), bidin Ismail menang pada PRK Sungai Bakap dengan 14,489 undi, memperoleh majoriti 4,267 undi berbanding lawannya, calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, yang memperoleh 10,222 undi.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. -airtimes.my

#PRK #SungaiBakap #kerajaan #DSAI #airtimes

Related Articles

Leave a Reply