Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Nahas helikopter Lumut: TLDM pastikan siasatan komprehensif, terperinci dijalankan – Panglima TLDM

Nahas helikopter Lumut: TLDM pastikan siasatan komprehensif, terperinci dijalankan – Panglima TLDM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memastikan satu siasatan yang komprehensif dan terperinci dijalankan oleh Lembaga Siasatan yang ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi nahas 2 helikopter terhempas di Lumut, pada 23 April lalu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, pada masa yang sama, TLDM juga akan terus memberi sokongan dan memastikan kebajikan waris mangsa tragedi nahas berkenaan terbela.

“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat kepada TLDM dalam menguruskan tragedi ini, khususnya dalam aspek pengurusan jenazah dan perjalanan terakhir yang telah dilaksanakan dengan lancar dan teratur,

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas bantuan awal yang telah disalurkan kepada waris mangsa untuk meringankan beban yang ditanggung,” katanya dalam Perutusan Sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, yang disiarkan di Facebook rasmi TLDM, hari ini.

Pada 23 April lalu, negara telah digemparkan dengan tragedi nahas yang menyayat hati membabitkan 2 buah helikopter TLDM, iaitu Helikopter Operasi Maritim AW 139 dan Fennec di Pangkalan TLDM Lumut.

Nahas membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) berlaku pada jam 9.32 pagi ketika Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Insiden tersebut telah mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk 3 wanita.

Kesemua jenazah 10 pegawai dan anggota TLDM yang maut dalam nahas tersebut selesai disemadikan dengan jasad terakhir adalah mendiang Leftenan T Sivasutan, pada 25 April lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menyatakan, tragedi ini ternyata memberi kesan yang sangat mendalam dan merupakan satu kehilangan besar buat TLDM khasnya serta negara amnya.

“Saya yakin dan percaya, dengan tahap kompetensi dan pengalaman yang luas, para juruterbang kedua-dua pesawat ini pastinya telah berusaha sebaik mungkin untuk mengelak dari berlakunya malapetaka sebegini,

“Namun, sebagai umat Islam yang beriman, kita wajib menyakini bahawa Qada dan Qadar itu adalah daripada Allah Subhanahu Wata’ala,

“Kita hanya mampu merancang, namun Allah Subhanahu Wata’ala jualah yang menentukan segala-galanya. Semoga roh mereka yang terkorban dalam tragedi ini dicucuri rahmat, bersemadi dengan aman serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan juga para syuhada,” ujarnya lagi.

Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang dijadual pada 27 April lalu, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat susulan tragedi helikopter terhempas tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata, pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM. -airtimes.my

#tldm #airtimes #nahashelikopter #lumut #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply