Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Tragedi helikopter di Lumut: Satu kehilangan besar buat warga TLDM – Panglima

Tragedi helikopter di Lumut: Satu kehilangan besar buat warga TLDM – Panglima

by Nurulhuda

LUMUT, 26 Apr – Tragedi pada Selasa lalu telah memberi kesan yang sangat mendalam dan merupakan satu kehilangan besar buat seluruh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khasnya dan negara amnya.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dalam khutbah khas berkata, mangsa yang terkorban telah menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air tercinta.

“Pengorbanan yang telah kamu (mangsa korban) berikan pastinya tidak dapat kami balas dengan air mata,

“Hanya doa yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati Allah SWT,” katanya semasa menyampaikan khutbah khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90, hari ini seperti di lapor Bernama.

Dalam khutbah sama, Abdul Rahman berkata, tema sambutan tahun ini ‘TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara’ begitu signifikan dengan meletakkan pasukan itu sebagai ketumbukan yang menggalas tanggungjawab penting mengawal setiap inci perairan negara bagi menghindari sebarang bentuk pencerobohan atau konflik musuh.

“Angka 90 tahun merupakan usia yang matang dan penuh pengalaman, 90 tahun juga bukan sahaja mempamer kesungguhan dan komitmen perjuangan warga TLDM dalam melindungi perairan serta menjaga kehormatan kedaulatan negara, bahkan turut memikul amanah serta menjaga kesucian agama secara konsisten,” ujarnya lagi.

Menurutnya, aspek kompetensi pegawai dan anggota TLDM turut menjadi keutamaan dan perlu diberi penekanan, selain kesiagaan yang tinggi tanpa bergantung kepada aspek material semata-mata.

“Tidak kurang pentingnya aspek ketersediaan modal insan yang kompeten dan profesional,” katanya.

Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang dijadual esok, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat susulan tragedi helikopter terhempas tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata, pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM jam 12.15 tengah hari, disambut Menteri Pertahanan serta Abdul Rahman.

Turut hadir, Laksamana Pertama (Kehormat) TLDM, Datuk Muhammad Abdullah dan barisan kepimpinan tertinggi TLDM.

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas yang diadakan di Masjid An-Nur TLDM itu juga sempena memperingati mangsa tragedi nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec TLDM terhempas pada Selasa lepas yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM. -airtimes.my

#airtimes #lumut #nahashelikopter #TLDM90 #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply