Home Semasa Alas kaki tertera gambar Kaabah sebenarnya adalah sejadah mini

Alas kaki tertera gambar Kaabah sebenarnya adalah sejadah mini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Apr – Alas kaki tertera gambar Kaabah yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) baru-baru ini sebenarnya adalah sejadah mini.

AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kekeliruan yang timbul itu berpunca daripada label produk yang dipamerkan kepada pengguna.

“Pembekal yang terlibat, A&R Fashion Collection mengesahkan bahawa produk berkenaan adalah sejadah mini, di mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa,

“Pembekal ini juga adalah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputera dan membekalkan pakaian muslimah patuh syariah. Ia telah menjadi pembekal kami sejak 2015,” kata kenyataan itu.

Menurut Aeon BiG, pihaknya sudah mengambil tindakan dengan memperbetulkan kekeliruan yang berlaku dengan serta merta dan label pada barangan itu disenaraikan sebagai sejadah.

“Diharapkan kenyataan daripada kedua-dua pihak pengurusan ini dapat menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu terbabit,

“Kami juga berharap spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita dapat dihentikan,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambahnya, AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAIJ dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan.

Terdahulu, media melaporkan sejumlah 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat telah dirampas oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor, sehari sebelum Aidilfitri lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan itu susulan aduan orang awam terhadap tindakan pasar raya terbabit yang menjual alas kaki berkenaan sempena sambutan Aidilfitri. -airtimes.my

#sejadah #eonbig #semasa #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply