PUTRAJAYA, 14 APR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan serangan yang dilancarkan oleh Iran merupakan tindak balas terhadap tindakan Israel di Syria.
“Serangan yang dilancarkan Republik Islam Iran adalah tindak balas yang berpunca dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini,
“Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.
Israel sebelum ini telah melancarkan satu serangan terhadap Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April 2024. Serangan terhadap kedutaan ini mengorbankan 7 nyawa termasuk beberapa penasihat Tentera Iran.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan Malaysia sedang memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas negara.
“Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia,
“Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak ,
“Ini demi kepentingan dan keamanan sejagat, dan semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut,” katanya.
Perdana Menteri menyatakan perkara tersebut selepas mengadakan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi Kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah.
Beliau turut menegaskan, sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.
“Walaubagaimanapun, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini,
“Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #Iran