Home Semasa CAAM sahkan 2 penumpang termasuk juruterbang dalam pesawat terhempas

CAAM sahkan 2 penumpang termasuk juruterbang dalam pesawat terhempas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan terdapat 2 mangsa termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan model BK 160 Gabriel, yang terhempas di Kapar, Selangor, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud memaklumkan, keadaan kedua-dua individu bagaimanapun masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Menurutnya, sebelum kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran I-POOC yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

“Terdapat 2 penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat tersebut. Namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam satu kenyataan.

Norazman berkata, hubungan terakhir pesawat dengan kawalan trafik udara dilaporkan pada 1.35 petang namun tiada panggilan kecemasan diterima.

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#semasa #terhempas #airtimes

Related Articles

Leave a Reply