Home Semasa Makin ramai MP pembangkang hilang percaya pada parti sendiri – Anwar

Makin ramai MP pembangkang hilang percaya pada parti sendiri – Anwar

by Bernama

IPOH, 29 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya lebih ramai ahli parlimen pembangkang akan menyokong Kerajaan Perpaduan kerana hilang keyakinan terhadap parti mereka apabila perubahan kerajaan yang dijanjikan tidak berlaku.

Anwar berkata mereka hanya dijanjikan dengan janji-janji palsu dengan pelbagai langkah “tebuk atap” yang nyata tidak menjadi kenyataan dan memainkan persepsi negatif termasuk isu-isu perkauman.

“Mereka diberikan harapan, walaupun saya katakan atap ini bukan atap rumbia tetapi atap konkrit, mereka berpindah dari Dubai ke London dan mereka lupa atap konkrit jauh lebih tebal.

“Dan apabila terhakis harapan, orang-orang, Ahli Parlimen yang dijanjikan perubahan akan berlaku ini, seorang demi seorang akan meninggalkan parti mereka,” katanya dalam ucapan perasmian penutup di Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak di Ipoh, pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Pengerusi Pakatan Harapan Perak Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata kestabilan Kerajaan Perpaduan termasuk gabungan dari Sabah dan Sarawak adalah kukuh dan pihak yang sentiasa cuba menggugatnya perlu menerima kenyataan gabungan itu akan kekal sehingga ke akhir penggal.

“Yang di-Pertuan Agong pada malam tadi juga menasihatkan agar pimpinan politik memelihara perpaduan dan kepimpinan perlu menumpukan untuk memacu pertumbuhan dan biar bicara soal merancang setelah lima tahun (akhir penggal).

“Saya yakin juga Tuanku Sultan Johor yang akan menjadi Agong akan mempertahan pendirian yang sama,” kata Presiden PKR itu.

Anwar dalam masa sama berkata Kerajaan Perpaduan perlu menumpu usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana mereka masih mempunyai empat tahun untuk membuktikan kejayaan mereka.

Katanya Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan prinsip sedia ada termasuk menjaga hak majoriti Melayu dan Bumiputera. – Bernama

#politik #DSAI #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply