Home Pertahanan dan Keselamatan Radar jarak jauh TPS-77 tingkat pengawasan ruang udara di Laut China Selatan

Radar jarak jauh TPS-77 tingkat pengawasan ruang udara di Laut China Selatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Radar pengawasan jarak jauh Lockheed Martin TPS-77 buatan Amerika Syarikat telah beroperasi di perairan Labuan pada Disember tahun lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, radar AN/TPS-77 buatan syarikat Lockheed Martin itu adalah untuk menggantikan radar Alenia yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya.

“Radar baharu di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bukit Kubong ini, dapat meningkatkan aset pertahanan negara dengan ketara,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian semasa dalam lawatan kerja 5 hari ke beberapa kem tentera di Sabah, termasuk Semporna, Sepanggar, Lok Kawi dan Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

Radar Alenia terbabit dilucut tauliah selepas kemampuannya tidak lagi mencapai Full Mission Capability (FMC) secara optimum.

Radar Alenia yang telah dilucut tauliah itu mempunyai kemampuan mengesan sasaran udara sejauh 250km dan ketinggian 60,000 kaki.

Pada Mac tahun lalu, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Rakyat menjelaskan radar pertahanan udara baharu ini akan beroperasi di Labuan pada akhir tahun 2023.

Menurutnya, pengoperasian radar tersebut di Labuan akan meningkatkan kemampuan tambahan bagi mengawal ruang udara di Sabah dan Sarawak termasuk Laut China Selatan.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan terus menaik taraf aset sedia ada dan memperkenalkan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan pertahanan negara yang semakin berkembang.

Semasa lawatan itu juga, Adly memaklumkan, MINDEF sedang melaksanakan 6 projek pembangunan di kem tentera yang terletak di sepanjang pantai barat Sabah dan Labuan.

Menurutnya, projek itu bertujuan meningkatkan kebajikan anggota tentera dan mewujudkan persekitaran yang kondusif.

“Projek pembangunan itu temasuklah, 5 projek pembinaan di Sabah ialah di Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kota Belud,

“1,036 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kota Kinabalu; 633 unit RKAT di Kem Paradise Kota Belud bagi 5 Briged dan 19 RAMD,

“Bangunan tambahan bagi Wisma Laskar di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) dan 513 unit RKAT pelbagai kelas di Kem Lok Kawi,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau berkata, projek membabitkan 123 unit RKAT pelbagai kelas di kem pangkalan TUDM di Membedai turut sedang dilaksanakan sejak Januari 2022 dan dijadual siap Mac 2025. -airtimes.my

#airtimes #TUDM #Labuan #pertahanan #malaysia

Related Articles

Leave a Reply