KUALA LUMPUR, 16 Jan – Malaysia mengulangi pendiriannya untuk menyokong langkah Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bersama negara-negara lain dalam menegakkan keadilan dan membenam kezaliman terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Israel mesti dibicarakan dan kekejaman mereka mesti dihentikan dengan serta merta.
Menurutnya, tindakan berani Afrika Selatan dalam melonjak persoalan ini ke ICJ mesti didukung oleh seluruh dunia dan warga yang waras.
“Negara-negara Barat seolah ingin terus bermuka-muka dan mengambil pendirian selamat ketimbang mengheret Israel ke muka dan neraca pengadilan yang sewajarnya,
“Mantra ‘hak asasi manusia’ yang sering dihala ke negara-negara yang tidak sebulu dengan mereka kini tidak lagi kedengaran,” jelasnya menerusi hantaran di laman media sosialnya, hari ini.
Anwar berkata, gelombang penentangan terhadap Israel yang kita saksikan hari ini adalah yang terbesar sejak demonstrasi raksasa menentang Perang Vietnam dan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan dahulu.
“Malangnya, gelombang penentangan ini belum menjentik nurani pemimpin di negara-negara Barat untuk mengambil pendirian yang menyemangati apa yang mereka paksakan ke atas negara lain selama ini,
“Israel mesti dibicarakan dan kekejaman mereka mesti didobrak dengan pelbagai cara yang ada,” tegasnya lagi.
Menurut Anwar, sejak 7 Oktober tahun lalu, dunia telah menyaksikan 100 hari pembantaian tanpa henti rejim biadab Israel ke atas warga Palestin.
Jelasnya, ini adalah kesinambungan daripada lebih 7 dekad kezaliman yang telah pun diterjemahkan secara jelas melalui pendirian serta kebijakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kenyataan serta pandangan perkauman sisi kanan yang dihambur para pemimpin Zionis ke atas rakyat Palestin tambah menjelas sikap melampau Zionis Israel,
“Sebagai rakyat, meski dinafikan segala hak dan asas kehidupan serta sentiasa dipaksa untuk hidup dalam ketakutan, namun rakyat Palestin tetap terus keras mempertahan tanah air dan maruah bangsa,
“Israel telah membunuh seramai 22,185 rakyat yang tidak berdosa, dan Israel terus dipencilkan warga serta komuniti antarabangsa,” ujar Perdana Menteri.
Sehingga ke hari ini, sekurang-kurangnya 24,100 orang telah terbunuh di wilayah itu sejak lebih 3 bulan perang antara Palestin dan Israel berlaku.
Kementerian Kesihatan di Gaza memaklumkan, jumlah korban termasuk 132 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala ramai masih terperangkap di bawah runtuhan dan 60,834 orang cedera sejak 7 Oktober tahun lalu.-airtimes.my
#semasa #DSAI #Malaysia #SaveGaza #palestin #airtimes
