[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4m3PmjMuhhI[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan individu yang nekad terjun ke laut untuk menyelamatkan seorang lelaki dan wanita terjatuh di Jambatan Pulau Pinang malam tadi, adalah anggotanya dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD).
Menerusi hantaran di media sosialnya hari ini, TDM memaklumkan, anggotanya Koperal Mazlan Abdul Rahman yang sedang melalui Jambatan Pulau Pinang terus bertindak terjun ke laut sejurus terdengar jeritan meminta tolong dari bawah jambatan terbabit.
“Mazlan juga telah memberikan bantuan pernafasan (Cardiopulmunory Resuscitation,CPR) kepada mangsa setelah merapat ke bot berhampiran,
“Tindakan pantas berkenaan telah berjaya menyelamatkan nyawa mangsa orang awam yang dipercayai terjatuh ke dalam laut,
“Sikap berani dan pantas yang ditunjukkan oleh Koperal Mazlan ini wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM,” ujar hantaran itu.

Tentera Darat Malaysia (TDM) turut memaklumkan sikap berani dan pantas yang ditunjukkan oleh Koperal Mazlan terbabit wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM.
Semalam, sekitar jam 7.45 malam, Mazlan terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang untuk menyelamatkan seorang lelaki dan seorang wanita yang terjatuh di Kilometer 2.8 jambatan itu menghala ke Perai.
Difahamkan, kedua-dua mereka dikatakan bertelingkah di jambatan itu sebelum kedua-duanya terjatuh ke laut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Shahrul Munawer Taharen berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki bot oleh nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Menurutnya, mereka telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diberikan rawatan awal.
“Kes diserah kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.35 malam,” katanya lagi.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 17 saat yang memaparkan pasangan itu terapung di air. -airtimes.my
#jambatan #Pulaupinang #airtimes #pertahanan #selamat