Home Pertahanan dan Keselamatan 172 PATI Indonesia hanyut di Pantai Labu keluar Malaysia secara haram – APMM

172 PATI Indonesia hanyut di Pantai Labu keluar Malaysia secara haram – APMM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Ratusan pekerja asing warga Indonesia yang terlantar di perairan Pantai Labu, Deliserdang, Sumatera Utara, Indonesia dikesan keluar dari negara ini melalui laluan haram.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kesemua mereka dipercayai mahu pulang ke negara asal.

“Pihak APMM mendapati mereka telah keluar melalui perairan negara untuk pulang ke Indonesia,

“Mereka menggunakan laluan yang tidak sah akibat dipercayai memasuki negara ini secara haram atau permit tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media Indonesia bahawa 172 warga Indonesia yang didakwa keluar melalui laluan haram di Selangor hanyut lebih sehari sebelum diselamatkan nelayan tempatan.

Sebelum ini, media melaporkan, kesemua warga Indonesia berkenaan yang bekerja di Malaysia itu dikatakan terpaksa bertahan selama 28 jam di tengah laut di kawasan itu.

Difahamkan, mereka hanyut di tengah laut semasa dalam perjalanan pulang ke Indonesia selepas berangkat dari Selangor pada 9 Januari lalu secara haram dengan menaiki tongkang.

Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, tongkang itu dikatakan berpusing-pusing mengelilingi pulau sebelum hanyut akibat cuaca buruk.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, pada tahun lalu, seramai 277 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan APMM dan daripada jumlah itu, 104 PATI adalah warganegara Indonesia.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan dan operasi secara berterusan bagi menangani kemasukan PATI ke negara ini.

“Bermula tahun ini, APMM mengambil penekanan berbeza di mana operasi secara besar-besaran akan dilaksanakan bagi menangani isu kebanjiran PATI masuk ke negara ini,” ujarnya lagi.

Justeru itu beliau menasihatan warga asing agar melaksanakan urusan kemasukan dan keluar dari negara ini secara sah supaya tiada sebarang masalah dihadapi pada masa hadapan.

“Semua warga asing turut diminta tidak terpengaruh dengan tekong atau sindiket yang menggunakan laluan tidak sah dan kaedah pengangkutan tidak selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa,” jelasnya lagi.-airtimes.my

#apmm #Malaysia #PATI #Indoensia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply