Home Semasa Kes COVID-19 meningkat, Agong nasihatkan rakyat disiplin kawalan kendiri

Kes COVID-19 meningkat, Agong nasihatkan rakyat disiplin kawalan kendiri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin dalam kawalan kendiri berikutan peningkatan kes COVID-19 mutakhir ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah agar rakyat, khususnya golongan rentan, warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup.

“Al-Sultan Abdullah juga bertitah agar rakyat menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Selain kawalan kendiri tersebut, individu bergejala disaran mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zahari berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa, kes COVID-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim percutian sekolah yang menyaksikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai.

Tambahnya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis memantau rapi kes jangkitan virus ini di seluruh negara dan mengeluarkan kenyataan, cadangan serta arahan berkaitan, bergantung kepada situasi semasa.

“Sehubungan dengan itu, rakyat juga disaran supaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini berkenaan kes COVID-19 di negara ini dan arahan dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, sepanjang tempoh 10 hingga 16 Disember, jumlah kes COVID-19 dilaporkan sebanyak 20,696 kes, meningkat 62.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga 28 kematian, dengan 85 peratus membabitkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas, manakala 151 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi di seluruh negara. -airtimes.my

#semasa #COVID19 #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply