BEIJING, 13 OKT – Tentera laut China dan Arab Saudi telah memulakan latihan bersama di perairan Laut China Selatan.
Eksesais Blue Sword 2023 dilaksanakan bagi meningkatkan kerjasama dan hubungan antara Beijing dan Riyadh.
Latihan ini melibatkan angkatan laut kedua-dua negara dengan meliputi senario peperangan permukaan dan juga operasi menyelamat bersama.
“Tentera laut Arab Saudi dan China akan melaksanakan senario operasi menyelamatkan kapal yang ditawan oleh lanun,” lapor media negara kuasa besar Asia itu.
Eksesais ini dilaksanakan selama 3 minggu dengan melibatkan latihan asas, latihan profesional dan latihan komprehensif. Ini merangkumi latihan menembak, operasi helikopter, penggeledahan dan juga menangani ancaman bahan letupan bawah permukaan.
Blue Sword merupakan latihan bilateral antara tentera Arab Saudi dan China yang pertama kali dilaksanakan pada tahun 2019. Eksesais yang dilaksanakan pada kali ini merupakan siri kedua latihan bersama itu. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Global #China #ArabSaudi