Home PolitikPAS /PPBM / LAIN #Politik: Belum pernah dalam sejarah, semua Exco Kedah kena mengadap SPRM – Sanusi

#Politik: Belum pernah dalam sejarah, semua Exco Kedah kena mengadap SPRM – Sanusi

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 27 Jul – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kerajaan perpaduan bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menggunakan kuasa untuk memberikan tekanan terhadap dirinya serta pentadbiran negeri Kedah.

Malah, beliau menyifatkan, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu jauh lebih kejam berbanding zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan PH-BN menggunakan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk melakukan kempen pilihan raya serta memberi tekanan kepada kerajaan negeri yang berbeza dengan kerajaan persekutuan,

“Belum pernah dalam sejarah Negeri Kedah, tiap-tiap Exco kerajaan negeri kena mengadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Inilah sejarah termasuk yang terpaksa mengadap SPRM ialah Penasihat Undang-Undang Negeri, pun kena mengadap SPRM,

“Kerana mereka (PH-BN) terdesak tak ada isu, tiada modal untuk menekan kita (Perikatan Nasional, PN) dicipta pelbagai tuduhan dan fitnah sehingga tiap-tiap Exco dan pegawai tinggi kerajaan terpaksa mengadap SPRM,

“Tiap seorang dipanggil sampai 8 jam. Hendak diadakan tekanan kepada kita. Besok (hari ini) akan ada lagi beberapa Exco akan dipanggil mengadap,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PN PRN Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Tegasnya, kesemua Exco kerajaan negeri itu diminta memberi keterangan berhubung kes siasatan terhadap Penerokaan unsur nadir bumi (REE) dan pembinaan litar lumba di negeri berkenaan yang disiasat oleh SPRM.

“Isu REE telah menjalani semua proses siasatan termasuk kompaun RM500,000 dan bukan tidak pernah langsung disiasat,

“Kompaun pun sudah dibayar tetapi mereka masih tidak puas hati dan terus buat tangkapan kerana sengaja nak berikan gambaran ada kesalahan besar yang berlaku serta menimbulkan persepsi kerajaan negeri Kedah tidak bersih,

“Hasrat mereka yang paling besar untuk pastikan Sanusi pakai gari, pakai baju oren (lokap SPRM)… saya yakin akan ada kebangkitan lebih besar di seluruh negara kerana saya akan bongkar semua kerja jahat ini jika mereka berani pakaikan saya baju oren,” tegasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Sanusi turut menegaskan pendirian untuk mengambil tindakan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung 2 kes fitnah.

Tindakan saman tersebut adalah berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian REE. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!