Home Semasa #Semasa: Projek HSA 2 – Johor wujud jawatankuasa khas bersama MINDEF

#Semasa: Projek HSA 2 – Johor wujud jawatankuasa khas bersama MINDEF

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Jul – Kerajaan Negeri Johor akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkaitan pelaksanaan projek Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) di daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, jawatankuasa itu dibentuk bagi memperhalusi cadangan pembinaan HSA2 ini dengan lebih lanjut, seterusnya merangka pelan yang tersusun.

Jelasnya, hasrat kerajaan negeri itu diputuskan hasil perbincangan bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kementerian Pertahanan, hari ini.

“Pembinaan HSA2 amat penting, kerana ia mampu mengurangkan kebergantungan serta kesesakan di HSA sedia ada,

“Pelbagai perkara telah dipersetujui dan satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memperhalusi cadangan ini dengan lebih lanjut agar dapat merangka pelan yang tersusun,

“Semoga usaha sama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan memberi impak positif kepada kualiti hidup Bangsa Johor, seterusnya mampu mengangkat Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang maju. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantraan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya.

Tambah Onn Hafiz, isu keselamatan dan pertahanan di Johor khususnya keselamatan sempadan turut dibincangkan dalam pertemuan bersama itu.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Datuk Ashari Kasnan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut@Ahmad. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply