Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat #Pertahanan: 2,063 Perajurit Muda lelaki berjaya tamat latihan ketenteraan Tentera Darat

#Pertahanan: 2,063 Perajurit Muda lelaki berjaya tamat latihan ketenteraan Tentera Darat

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 24 Jun – Seramai 2,063 Perajurit Muda lelaki berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 196/22 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.

Majlis perbarisan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mohamad dalam ucapannya berkata, kejayaan ini tidak akan diperolehi tanpa pengorbanan masa, keringat, emosi serta kegigihan yang mencabar kekuatan dan keupayaan diri.

Jelasnya, dengan kesabaran yang tinggi serta berkat titipan doa keluarga, telah membolehkan Perajurit Muda mengharungi setiap cabaran dan dugaan sepanjang latihan dengan jayanya.

“Melihat kesegakan dan kekemasan perbarisan pada hari ini, saya cukup yakin, Perajut Muda telah dilatih dengan sempurna dan pasti mampu menggalas tugas yang akan diamanahkan di pasukan baru nanti,

“Laksanakanlah tugas saudara dengan penuh kejujuran dan kesabaran,” jelasnya.

Beliau turut berpesan kepada semua Perajurit Muda agar menggunakan segala ilmu yang diperolehi di pusat latihan ini dengan sebaiknya serta sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan perkembangan kerjaya masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohamad turut menyeru kepada Perajurit Muda agar tidak terlibat dengan kes-kes yang tidak bermoral serta melanggar perintah dan arahan perkhidmatan sehingga mencemarkan imej Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Hanya dengan kerohanian yang teguh, akan dapat mencegah dan membendung anggota daripada melakukan perkara tidak bermoral dan tidak beretika,

“Selian itu ia juga dapat menjauhkan mereka daripada anasir yang mampu mencalarkan imej Tentera Darat di mata masyarakat,” ujarnya lagi.

Tegasnya, TDM tidak akan sesekali menyokong dan berkompromi dengan anggota yang melakukan kesalahan-kesalahan yang sedemikian.

“Harus diingat penyertaan saudara ke dalam kerjaya ini adalah dengan ikrar untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,

“Justeru, laksanakanlah amanah tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab dan sempurna,” tegasnya.

Perajurit Muda ini telah menjalani latihan bermula pada 31 Disember 2022 hingga 24 Jun 2023 di PUSASDA.

Pada awalnya, seramai 2,110 orang telah terpilih untuk mengikuti latihan selama 6 bulan ini, namun, hanya 2,063 Perajurit Muda berjaya menamatkan latihan.

Manakala seramai 47 orang tidak berjaya menamatkan latihan atas pelbagai sebab antaranya masalah disiplin dan kesihatan.

Pada siri kali ini, perbarisan tamat latihan menerima kehadiran pengunjung yang mana terdiri daripada waris keluarga dan jemputan luar.

Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dirangkul anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan iaitu Perajurit Muda Mohamad Azmi Osman.

Perajurit Muda Kawad Terbaik disandang oleh Perajurit Muda Mohamad AIman Roslam dari Kuala Krai, Kelantan dan Perajurit Muda Akademik Terbaik pula disandang oleh Perajurit Muda Mohd Badri Bullare dari Kunak, Sabah.

Sementara itu, Perajurit Muda Muhammad Zulhelmie Abdulllah merangkul anugerah Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik pada siri ini.

Manakala, Anugerah Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik disandang oleh Perajurit Muda Mohamad Noor Aiman Yusnizam dari Kota Kinabalu, Sabah.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk, Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply