Home Diskusi Pilih LMS dari Turkiye, adakah pelan 15-to5 TLDM sudah ‘lari’ dari landasan?

Pilih LMS dari Turkiye, adakah pelan 15-to5 TLDM sudah ‘lari’ dari landasan?

by M.Daim

Artikel ini merupakan bahagian pertama. Bahagian kedua (terakhir) untuk ini akan disiarkan pada pukul 2 petang 23 Mac 2023.

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan telah menjejakkan kaki beliau ke Turkiye. Ia merupakan lawatan pertama beliau ke negara itu semenjak memegang portfolio untuk menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

Lawatan beliau ini sudah tentu dijangka berkait rapat dengan kerjasama pertahanan Malaysia-Turkiye dan juga perolehan Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pada ketika ini, calon LMSB2 yang disebut adalah kapal kovet kelas ADA keluaran STM dan C92 yang dibina oleh Dearsan.

Walaupun perolehan LMSB2 belum muktamad, ADA dilihat sebagai calon favorite kerana beberapa maklumat yang bertiup kencang di alam maya menyatakan kapal tersebut sudah dipilih biarpun tiada sebarang dokumen serta pengesahan rasmi dibuat.

C92 merupakan kapal kovet yang dibina oleh Dearsan.

Tambahan pula, matlamat awal ADA direka adalah sebagai Littoral Combat Ship untuk Tentera Laut Turkiye. Ini kerana kapal ini mempunyai keupayaan tempur 3-dimensi iaitu menggempur sasaran di permukaan, bawah permukaan dan juga udara.

Keupayaan tempur ini turut dilihat pada C92 yang juga merupakan kapal kovet. Pun begitu, C92 menggunakan VL MICA sebagai taringnya untuk menggempur sasaran di udara dan ADA pula menggunakan RAM Block I.

Namun begitu, konfigurasi kapal boleh berubah memandangkan konfigurasi persenjataannya boleh diubah mengikut kehendak negara pengguna. Pun begitu, sama ada ADA mahupun C92, perolehan LMSB2 merupakan keperluan mendesak yang perlu diisi oleh kerajaan Malaysia terhadap jurang keupayaan aset kombatan TLDM.

Kapal kovet kelas ADA dilaporkan sebagai calon favourite perolehan LMSB2.

Dari sudut berlainan, pemilihan kapal LMS  dari luar negara mungkin menandakan Pelan Transformasi 15-to-5 akan mengalami sedikit perubahan. Ini dengan melihat penyataan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob seperti yang dilaporkan oleh Air Times sebelum ini.

Memahami 15-to-5

Pelan Transformasi 15-to-5 secara amnya adalah pelan strategik TLDM untuk memperkemaskan armadanya dalam mendepani cabaran masa hadapan. Secara asas, pelan ini mengurangkan jenis kapal bagi memudahkan penyelenggaraan dari sudut logistik. Di samping itu, pelan ini menyediakan fasa perolehan kapal bagi menggantikan aset-aset yang telah berusia.

Melihat kepada dokumen Transformasi 15-to-5 yang dilihat oleh Air Times, pelan ini dirancang memandangkan TLDM terpaksa berhadapan dengan trend pengurangan bajet pertahanan dan peningkatan cabaran keselamatan maritim yang berlaku pada ketika itu.

“Persekitaran fiskal (kewangan) semasa menuntut TLDM untuk meneliti secara kritis dari setiap aspek bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan pada masa sama untuk mengurangkan kos,” kata dokumen itu.

Mungkinkah perancangan ini akan berubah dalam masa terdekat?

Walaupun bajet pertahanan bertambah, namun meneruskan operasi aset berusia memakan kos yang tinggi kerana kesukaran untuk mendapatkan alat ganti dan juga cabaran untuk mengoperasikan aset berusia yang mempunyai risiko tersendiri untuk dioperasikan.

Mahu tidak mahu, perkara ini tidak dapat disembunyikan lagi memandangkan eksesais skala besar yang dilakukan oleh TLDM pada tahun lalu dicemari dengan beberapa isu pada aset lama. Mungkin perkara ini dilihat agak sensitif namun apabila ianya disuarakan, ini bermakna sesuatu perkara yang perlu dilakukan untuk memperbetulkan keadaan.

Hakikatnya, isu keusangan aset telah lama dibangkitkan dan pada tahun ini, kajian Air Times mendapati terdapat beberapa aset yang dioperasikan oleh TLDM telah di luar jangka hayat yang sepatutnya.

Malah, isu keusangan aset TLDM telah mendapat perhatian Sultan Selangor yang menitahkan agar aset yang usang perlu digantikan dengan yang baharu demi kedaulatan negara.

Mungkinkah pertemuan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dengan rakan sejawatan beliau dari Turkiye akan membuka lembaran baharu dalam pertahanan negara?

Tambahan pula, pada ketika 15-to-5 mula dilaksanakan, TLDM mempunyai 15 kelas kapal dari 7 buah negara. Situasi ini sudah tentu agak rumit dari segi latihan dan logistik.

“Selain daripada cabaran kos untuk memastikan kapal boleh memenuhi komitmen yang diperlukan, armada turut berhadapan dengan isu keusangan,

“Kebanyakan kapal ini telah melepasi jangka hayatnya dan ada diantaranya telah melalui paras usia 50 tahun,

“Kajian dan pengalaman telah menunjukkan usaha memanjangkan hayat kapal ini melalui Service Life Extension Programme (SLEP) tidak mampu untuk memberikan pulangan memuaskan berbanding pelaburan yang telah dibuat,

“Dalam jangka masa yang panjang, usaha sebegini telah terbukti lebih mahal daripada memperolehi kapal baharu,” kata dokumen itu. – airtimes.my

Bersambung….

 

Related Articles

Leave a Reply