Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Projek Artikel 11: Jom Ziarah gereja tidak wajar diteruskan – Takiyuddin

Projek Artikel 11: Jom Ziarah gereja tidak wajar diteruskan – Takiyuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Mac – PAS mencadangkan agar program Jom Ziarah yang dirancang dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak diteruskan jika ia tidak mencapai hasrat dan mungkin meluaskan lagi jurang perbezaan antara kaum serta boleh mengundang bantahan terbuka dalam masyarakat setempat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pada asasnya, PAS menyambut baik semua usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini.

Bagaimanapun, tegasnya, parti itu mengambil maklum mengenai Projek Artikel 11 yang dianjurkan sebuah agensi di bawah KBS, Impact Malaysia membabitkan program Jom Ziarah iaitu lawatan ke tempat ibadat pelbagai agama yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek perbezaan agama.

“Jadi, PAS menggesa program itu tidak sesekali menjadi program evangelisme dan tidak akan membabitkan belia beragama Islam seperti jaminan diberikan Menteri KBS, Hannah Yeoh di Parlimen pada Selasa lalu,

“Semua pihak termasuk menteri berkenaan perlu akur mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan larangan tegas ditetapkan undang-undang terhadap penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin juga berkata, PAS turut kecewa apabila Hannah memetik kenyataan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai sandaran atau justifikasi kepada program berkenaan menerusi jawapan beliau di Parlimen.

“Apa yang dipetik tersebut dibuat tanpa menjelaskan konteks ianya dibuat dan tanpa penerangan tepat berhubung kenyataan-kenyataan itu sama ada oleh individu terbabit secara langsung atau pihak-pihak yang mewakili mereka,

“PAS ingin menyatakan apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan itu dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara yang bukan ritual atau keagamaan,

“Ia juga bukan terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar,” ujarnya lagi.

Tambahnya, PAS juga kesal apabila Ahli Parlimen Segambut itu memetik kenyataan itu secara tidak adil atau tidak bermaruah dengan menggunakannya sebagai senjata politik bertujuan menimbulkan pertelagahan antara PAS dengan parti BERSATU yang merupakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan tersebut menjadi lebih terserlah motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil PAS ataupun BERSATU untuk memberi respons terhadap kenyataan beliau itu,

“Apatah lagi Menteri berkenaan tampak bercakap tentang peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah- olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak-pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengannya,” katanya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply