CANBERRA, 9 Mac – Kerajaan Australia dijangka akan melakukan perolehan 5 buah kapal selam berkuasa nuklear dari Amerika Syarikat melalui pakatan AUKUS.
Negara benua itu dilaporkan akan membeli 3 buah kapal selam kelas VIRGINIA dan diberikan pilihan untuk menambah 2 buah sekiranya diperlukan oleh Canberra
“Tentera Laut Diraja Australia dijangka akan melakukan perolehan tersebut pada sekitar 2030,
“Kapal selam Tentera Laut Amerika Syarikat akan ditempatkan di kawasan barat Australia mulai 2027,” lapor media AS, The Week.
Sementara itu, Reuters melaporkan Presiden AS, Joe Biden akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari Australia dan Britain bagi menentukan hala tuju AUKUS.
“Pertemuan tersebut juga akan menentukan jalan ke hadapan bagi perolehan kapal selam berkuasa nuklear dan sistem persenjataan berteknologi tinggi kepada Australia,” kata laporan itu.
Pakatan tersebut ditubuhkan pada 16 September 2021 bagi menjamin keselamatn dan kestabilan rantau Indo-Pasifik.
Penubuhan AUKUS mendapat reaksi bercampur-campur dari negara serantau. Malaysia sebelum ini menegaskan penubuhan pakatan strategik itu akan menganggu gugat keamanan serta kestabilan di Asia Tenggara.
Filipina sebelum ini menyuarakan kebimbangan penubuhan AUKUS akan mencetuskan perlumbaan senjata di rantau ini. Perkara tersebut disuarakan oleh Presiden Filipina pada ketika itu, Rodrigo Duterte.
Selain daripada itu, penubuhan AUKUS telah menyebabkan ketegangan diplomatik antara Perancis dengan ketiga-tiga negara anggota pakatan itu. Paris bertindak membatalkan pertemuan dengan Setiausaha United Kingdom sebagai tanda protes kepada penubuhan pakatan itu.
Pada masa yang sama, Paris turut memanggil balik anggota diplomat mereka dari AS dan Australia.
Untuk rekod, penubuhan AUKUS sebelum ini memberikan peluang kepada Australia untuk memperolehi sekurang-kurangnya 8 buah kapal selam berkuasa nuklear. Pada masa yang sama, Canberra telah membatalkan perolehan 4 buah kapal selam kelas ATTACK yang berasaskan rekaan Barracuda keluaran DCNS.
Pembatalan perolehan kapal selam yang dimeterai pada tahun 2016 telah menyebabkan Paris kerugian kira-kira US$66bilion.
Kontroversi pembatalan kapal selam kelas ATTACK telah diselesaikan selepas Canberra bersetuju untuk memberikan pampasan sebanyak US$583.58 juta pada pertengahan Jun 2022.
Pada ketika ini, Australia mengoperasikan 6 kapal selam berkuasa diesel kelas COLLINS. – airtimes.my