Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Muhyiddin dakwa Presiden UMNO dalang kluster mahkamah BERSATU

Muhyiddin dakwa Presiden UMNO dalang kluster mahkamah BERSATU

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kes kluster mahkamah melibatkan pemimpin parti itu didalangi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tindakan itu dipercayai antara usaha yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan partinya setelah melihat sokongan rakyat kepada BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) semakin kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Kalau saudari ingat apa kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO (Ahmad Zahid), dia kata sekarang ini dia tuduh kami kluster mahkamah dan selepas ini akan adalah satu kluster baru, mahkamah juga,

“Itu dah macam satu perkara yang dah awal-awal pendakwaan,

“Jadi, apa yang berlaku adalah satu perkara yang saya fikir sebagai presiden BERSATU yang dirancang dan terancang,” kata pengerusi PN itu ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin hadir bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menghadapi proses pertuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Dalam masa sama, Pengerusi PN itu juga mengakui sedih kerana ini adalah kali pertama pemimpin Bersatu dibawa ke mahkamah.

“Saya harap beliau (Wan Saiful) akan dapat perbicaraan yang adil dan mahkamah akan melakukan apa yang perlu, insya-ALLAH dengan doa kita semua beliau tidak akan didapati bersalah,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai pendakwaan terpilih, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti masing-masing termasuk dana daripada penyokong korporat.

Tegasnya, PH dan BN juga telah menerima dana daripada penyokong masing-masing, namun mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.

“Ini termasuk dana yang diterima daripada ahli-ahli perniagaan dan setakat ini tidak ada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia,

“Pendakwaan terpilih ini berlaku ketika kerajaan PH dan BN dilihat semakin gagal dalam menyelesaikan masalah rakyat serta bakal ditolak dalam pilihan raya di 6 negeri yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi,

“BERSATU telah menjangkakan bahawa ini ah yang akan dilakukan oleh PH-BN untuk melumpuh BERSATU setelah melihat sokongan kepada BERSATU dan PN semakin kuat dalam PRU15 dan ini suatu yang tidak dijangka oleh PH dan BN,”ujarnya.

Muhyiddin turut menegaskan, sumbangan yang diterima oleh BERSATU adalah daripada sumber yang sah dan tidak menyalahi undang-undang.

Menurutnya, memandangkan tindakan pendakwaan terpilih telah diambil terhadap beberapa pemimpin BERSATU, beliau yakin pembelaan yang sewajarnya dan seadilnya akan ditegakkan di mahkamah.

“Mahkamah rakyat pula akan menghukum PH, BN di atas niat jahat mereka melakukan tindakan berbentuk ‘witch-hunting’ dan pendakwaan terpilih secara berterusan terhadap lawan politik mereka,

“Saya menyeru agar ahli-ahli parti BERSATU bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam,

“Kepimpinan parti sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut saluran undang-undang,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply