Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Bersedekah: PAS lakukan tak kira musim, tidak bertempat dan terpilih – Hadi Awang

Bersedekah: PAS lakukan tak kira musim, tidak bertempat dan terpilih – Hadi Awang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Feb – PAS sekali lagi menegaskan, bahawa amalan ‘bersedekah’ yang dilakukan oleh ahli partinya itu bukanlah sesuatu yang aneh, malah ia dilaksanakan secara tidak bermusim.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan, amalan bersedekah itu bukan sahaja bersifat harta dan barangan, bahkan termasuk juga sedekah dari sudut ilmu, khidmat tenaga dan nasihat yang baik sama ada dengan lisan atau tulisan.

Tegasnya, penglibatan mereka juga bukan hanya untuk berpolitik atau ketika musim pilihan raya sahaja.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, kerana dengan didikan tersebut, terdapat dalam kalangan wakil rakyat PAS yang mengadu mempunyai banyak hutang kerana khidmatnya kepada masyarakat tanpa memilih siapa pun yang hendak diberikan bantuan.

Jelasnya, ia termasuklah membantu mereka yang berada di luar kawasan yang diwakilinya.

“Hutang-hutang itu hanya dapat dijelaskan selepas mereka bersara dan tidak menjadi wakil rakyat lagi,

“Itu adalah bukti khidmat wakil rakyat PAS sepanjang masa dan kepada semua, bukan hanya pada musim pilihan raya umum, pusat, negeri dan pilihan raya kecil semata-mata,

“Kini, selepas ramainya ahli PAS daripada pelbagai lapangan dan kebolehan, usaha-usaha ini diatur secara sistematik dalam lapangan yang lebih luas,” katanya melalui Minda Presiden PAS yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, tular klip video menunjukkan ada individu yang dikaitkan dengan pemimpin akar umbi PAS mengagihkan wang kepada pengundi yang bersumpah atas nama Allah mereka memangkah PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketika pengkritik menganggap tindakan tersebut sebagai amalan rasuah, Abdul Hadi tampil mempertahankan pengagihan wang tersebut dan menganggap ia tidak melanggar peraturan pilihan raya kerana tidak membabitkan calon atau wakil calon.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia,” katanya pada 21 Januari lalu.

Isu berkenaan semakin menjadi perhatian apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengesahkan membekukan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sejak minggu lalu bagi menjalankan siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan, tuduhan yang mengatakan PAS merasuah pengundi ketika pilihan raya adalah terlalu kecil berbanding sumbangan yang diberikan kepada orang ramai sebelum ini.

“Berbanding bantuan mereka (pihak lawan) itu yang diberikan secara bermusim atau bertujuan untuk mencapai matlamat politiknya sahaja, laksana ayam yang bertelur sebiji, namun berkokok riuh sekampung,

“Banyak parti yang pernah bekerjasama atau yang sedang bekerjasama dengan PAS menyaksikan betapa hebatnya pengorbanan jentera PAS yang tidak bermusim dan bertempat tanpa meminta upah daripada manusia,” jelasnya.

Tambahnya, inilah hasil tarbiah yang tidak memisahkan urusan dunia daripada urusan agama yang berwawasan akhirat.

“Perkara ini hanya boleh didapati dalam Islam, tetapi tidak terdapat dalam ideologi ciptaan manusia,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply