Home Politik Saya dipecat di saat musuh lama berdamai bentuk kerajaan perpaduan – Tian Chua

Saya dipecat di saat musuh lama berdamai bentuk kerajaan perpaduan – Tian Chua

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua menyifatkan tindakan mengumumkan pemecatan beliau bersama 4 ahli yang lain kepada media tanpa sebarang pemberitahuan kepadanya adalah sangat tidak profesional dan sopan.

Tian Chua menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya berkata, beliau amat kesal dengan tindakan yang dilakukan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Dr Tan Yee Kew itu.

“Pengerusi Jawatankuasa Disiplin telah memilih untuk mengumumkan pemecatan saya kepada media sebelum menghantar sebarang pemberitahuan kepada saya dan individu-individu lain yang berkenaan,

“Perbuatan yang sangat tidak profesional ini amat dikesali dan tidak sopan,” katanya hari ini.

Semalam, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memutuskan untuk memecat Tian Chua serta 4 lagi anggota kerana bertanding sebagai calon bebas dalam PRU lalu.

Perkara itu disahkan Tan Yee Kew, ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Pada masa sama, Tian Chua berkata, beliau tetap akur dengan keputusan itu dan malah telah bersedia berdepan sebarang akibat selepas bertanding dalam PRU15 sebagai calon bebas.

“Walau demikian dalam konteks senario pasca-PRU15, pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihanraya,

“Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan kerajaan perpaduan,

“Tanpa mempertikaikan kuasa kepemimpinan, tindakan keras menerapkan peraturan adalah seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih 2 dekad, sudah tentunya beliau sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut.

Tambahnya, sepanjang perjalanan perjuangan dengan parti itu, beliau tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti.

Dalam kenyataan yang sama, Tian Chua turut berjanji kepada para penyokong untuk tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan.

“Saya tidak akan undur daripada berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, bertanding di kawasan sama atas tiket bebas, manakala Chee Haur dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding atas tiket Parti Warisan (WARISAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji serta DUN Chenderiang, Perak.

Mohganan pula bertanding di Parlimen Taiping sebagai calon Bebas, manakala Nur Khairunisa bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu bagi DUN Sadong Jaya pada PRN Sarawak Ke-12.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!