Home Semasa Kadar tol lebuh raya BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

Kadar tol lebuh raya BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) akan diturunkan mulai tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kadar tol diturunkan sebanyak 15 sen bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) Lebuhraya BESRAYA.

Manakala, bagi Lebuhraya LEKAS, kadar tol bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km bagi sistem tol tertutup, manakala kadar tol kekal bagi sistem tol terbuka, iaitu di Plaza Tol Ampangan.

Beliau berkata, persetujuan ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat pada 21 Disember lalu.

“Kerajaan dengan sokongan dan persetujuan syarikat konsesi lebuh raya bertol bawah kendalian kumpulan IJM Corporation Berhad telah bersetuju untuk menurunkan kadar tol berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023 jam 12.01 tengah malam,

“Penurunan kadar tol ini juga merupakan sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuhraya ini yang diputuskan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Kadar tol semasa adalah RM2.00 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol BESRAYA dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan LEKAS.

“Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala; manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala,” ujarnya lagi.

Nanta memaklumkan, penurunan kadar tol kedua-dua lebuhraya ini adalah bagi sepanjang tempoh konsesi jika dibandingkan dengan kadar asal dalam perjanjian konsesi.

Tambahnya, cadangan penurunan kadar tol ini tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup.

“Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuhraya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978 billion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuhraya.

“Peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat,” tambahnya.

Pada masa sama, Nanta memaklumkan, kerajaan sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya seluruh negara.

Ujarnya, langkah itu dilaksanakan tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply