Home Politik Serahkan nama calon PM sebelum 2 petang esok – Istana Negara

Serahkan nama calon PM sebelum 2 petang esok – Istana Negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Istana Negara telah meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun untuk memohon ketua parti dan ketua gabungan yang memiliki jumlah kerusi Parlimen yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana berhubung gabungan yang telah dipersetujui untuk membentuk kerajaan baru.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan, ketua parti dan gabungan tersebut akan diminta Azhar memaklumkan parti lain yang telah bersetuju untuk membentuk kerajaan, serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti.

Beliau berkata, nama itu perlu diserahkan kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang esok, Isnin (21 November 2022).

Semalam, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencipta sejarah buat negara apabila tidak ada satu pun gabungan parti yang cukup majoriti 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP), Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, jumlah kerusi terbanyak mengatasi saingan terdekatnya, Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

Sementara Barisan Nasional (BN), mengalami kekalahan terburuknya dalam siri PRU selepas hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6), Parti Warisan Sabah (WARISAN) (3), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (1) dan calon Bebas (2).

Ahmad Fadil berkata, dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperolehi majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, selaras dengan Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang yelah dijelaskan adalah muktamad.

“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya,

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara,

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menjelaskan, Seri Paduka Baginda bertitah mengajak rakyat untuk terus bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan serta kemakmuran negara.

“Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply