Home PolitikBarisan Nasional PRU15: Ahmad Zahid digesa segera letak jawatan

PRU15: Ahmad Zahid digesa segera letak jawatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa segera meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar meletakkan jawatan utama itu sebagaimana dilakukan Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2018.

“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi. Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini,

“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang,

“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, pagi tadi.

Beliau juga mengakui berlakunya tsunami politik orang Melayu, apabila orang Melayu menolak UMNO dan memilih Perikatan Nasional (PN).

“UMNO rebah. UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor. Kita tidak memenangi satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,

“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa PRU15,” katanya.

Shahril Hamdan yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Alor Gajah, Melaka turut mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Penerangan UMNO susulan prestasi buruk gabungan itu dalam PRU15, malam tadi.

Sementara itu, Shahril Hamdan yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Alor Gajah, Melaka mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Penerangan UMNO susulan prestasi buruk gabungan itu dalam PRU15.

Shahril, dalam masa sama menggesa, Ahmad Zahid turut berbuat demikian sebagai tanggungjawab bersama atas sesuatu kegagalan.

“Saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini – berundur secara terhormat,

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini”,” katanya dalam hantaran di akaun media sosialnya, pada Ahad.

Semalam, BN mencatat keputusan terburuk dalam sejarah menyertai PRU apabila hanya mendapat 30 kerusi daripada 178 kerusi yang ditandinginya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply