Home Politik PRU15: Lebih 94 peratus pengundi awal hari ini – SPR

PRU15: Lebih 94 peratus pengundi awal hari ini – SPR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Seramai 212,961 atau 94.72 peratus orang pengundi telah keluar mengundi sehingga jam 5 petang tadi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya di Sabah.

Setiausaha Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, kesemua mereka terdiri daripada anggota tentera, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan masing-masing melaksanakan tangunggjawab mereka sebagai pengundi awal sejak jam 8 pagi tadi.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Penerangan Malaysia, dan media,

“Selain itu ucapan terima kasih juga untuk semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama serta sokongan yang diberikan kepada SPR,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Semalam, Ikmalrudin memaklumkan sejumlah 224,828 pengundi awal dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di 578 Pusat Mengundi Awal.

Pengundi awal terlibat terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pusat Mengundi Awal yang ditetapkan SPR akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Pada PRU14, peratusan keluar undi awal merekodkan sebanyak 83 peratus daripada 278,590 anggota keselamatan dan pasangan keluar mengundi di 586 pusat pengundian awal yang melibatkan 910 tempat mengundi (saluran mengundi). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply