Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRU15: Kami rela jadi pembangkang daripada bergabung dengan BN – Hadi Awang

PRU15: Kami rela jadi pembangkang daripada bergabung dengan BN – Hadi Awang

by Nurulhuda

MELAKA, 15 Nov – PAS rela menjadi parti pembangkang daripada bekerjasama untuk membentuk kerajaan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak sekali-kali akan bergabung dengan BN yang dianggap masih keruh selain masih mengekalkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.

“Sebab itu, kita tengok keputusan PRU15 yang menang siapa, (calon BN) bersih ke yang ‘keruh’, kalau yang keruh fikir-fikirlah…yang ‘bersih’ (tiada kes rasuah) lain cerita,

“Kalau kita menang sendiri dengan majoriti dua pertiga atau majoriti mudah, tak perlu kepada orang (parti lain untuk bergabung), (tetapi) kalau ada pihak yang nak bekerjasama selepas kita membentuk kerajaan, kita alu-alukan datang kepada kita,

“Kita sanggup jadi pembangkang (kerana) PAS jadi pembangkang berpuluh-puluh tahun tidak jadi masalah dan kita tidak mahu kerajaan yang tak bersih,

“Pendirian PAS masih sama, kita berprinsip (kerana) kita bukan ‘parti hanyut’,” katanya selepas menghadiri Program Jelajah Presiden PAS ke Melaka di Cheng petang tadi.

Media hari ini melaporkan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN) sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.

Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu sudah membuat rancangan berkenaan selepas masing-masing ketinggalan dalam persaingan, ketika hari mengundi semakin hampir.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas laporan mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkaitan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan BN selepas PRU15, dan menjelaskan keputusan itu dibuat parti sebelum Parlimen dibubarkan.

“Kenyataan berhubung kerjasama itu dibuat berdasarkan sebelum PRU dan (Parlimen) belum dibubarkan. Kita tunggu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) buat perhimpunan ubah pemimpin UMNO (ketika itu),

“Malangnya tidak boleh buat (keputusan tukar pemimpin), pimpinan yang itu juga, itu yang jadi masalah. Jadi kenyataan diambil dan dibuat awal itu adalah berdasarkan kepada (senario) itu,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply