KUALA LUMPUR, 9 Nov – Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa janji untuk menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak akan ditunaikan oleh pihak Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan parti itu menang dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.
Menurut beliau, Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya akan menjadi Perdana Menteri.
“Ramai percaya janji Zahid Hamidi bahawa Ismail akan jadi Perdana Menteri akan hanya tinggal janji.
“Yang akan jadi PM akhirnya ialah Zahid Hamidi,” kata Tun M dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Tambahnya, kedudukan Ismail Sabri menjadi lemah apabila calon-calon dari kalangan beliau tidak dipilih untuk mewakili UMNO dalam PRU-15.
“Kasihan Ismail Sabri. Dijanji akan terus jadi Perdana Menteri apabila BN menang,
“Dan dia pun bubar Parlimen. Sekarang kroni-kroninya tidak dipilih sebagai calon. Dia jadi lemah,” ujar beliau. – airtimes.my