Home PolitikPakatan Harapan PH Johor kecewa, tetapi siap sedia hadapi PRU-15

PH Johor kecewa, tetapi siap sedia hadapi PRU-15

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pakatan Harapan (PH) Johor sudah bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Namun, PH Johor tetap menzahirkan rasa kecewa terhadap khabar angin atau spekulasi berkaitan pembubaran Parlimen yang sedang bertiup kencang ketika ini.

PH Johor berkata, ini kerana negara sedang berhadapan kebarangkalian musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir di banyak lokasi termasuklah Johor.

“Perkara ini telah pun diramalkan berdasarkan fakta, data dan sains menerusi kajian Jabatan Meteorologi Malaysia,” kata PH Johor dalam kenyataan bersama pada Isnin.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan 3 Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Liew Chin Tong.

Mereka menyatakan demikian susulan khabar angin berhubung pembubaran parlimen, selepas laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong petang semalam.

Mengulas lanjut, PH Johor berkata, kesemua pemimpin PH Johor telah bermesyuarat lewat petang semalam yang dipengerusikan dirinya sendiri, dan mengambil maklum khabar angin tersebut.

“Menerusi mesyuarat, kami ambil maklum khabar angin atau spekulasi berkaitan pembubaran Parlimen yang sedang bertiup kencang,

“Mengulangi pendirian, PH Johor sekali lagi menegaskan bahawa keutamaan kita pada ketika ini ialah mempersiapkan diri bagi menghadapi kebarangkalian besar risiko banjir, bukan sibuk membincangkan soal kuasa dan pilihan raya,

“Meskipun begitu, PH Johor akan tetap bersiap siaga sekiranya Parlimen dibubarkan bila-bila masa dari sekarang,” tegas kenyataan itu.

Tambah mereka, kepimpinan segenap peringkat serta semua wakil rakyat PH Johor dalam bersiap sedia berdepan musim tengkujuh, akan tetap mempersiapkan jentera parti.

Semalam, New Straits Times, Ismail Sabri hadir ke Istana Negara untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen sekaligus memberi laluan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

Sumber itu memaklumkan, kehadiran Ismail Sabri ke Istana Negara tidak diketahui pengamal media yang kebanyakannya berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi membuat liputan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply