Home Semasa Pembayaran fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia mulai 20 September

Pembayaran fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia mulai 20 September

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembayaran fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September ini secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September.

Beliau berkata, pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima yang terdiri daripada penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang atau tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus rayuan BKM.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan juga krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global,

“BKM merupakan komitmen berterusan Kerajaan bagi meringankan beban golongan B40,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, bagi BKM fasa 3, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900.

“Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan pada Jun yang lepas,

“Sehingga September 2022, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan dan masih terdapat bayaran fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember 2022,” ujarnya.

Menurutnya, semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply