KUANTAN, 17 Sept – Seramai 179 pelatih asas Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 telah berjaya menjalani latihan selama 9 bulan bermula pada 7 Disember 2021 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Gebeng, hari ini.
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, pelatih terdiri daripada 159 orang lelaki dan 20 wanita mencatat sejarah kerana terpilih dalam pengambilan pertama ketika negara masih di dalam fasa pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim telah menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 Maritim Malaysia di Padang Kawad Pusat Latihan dan AMSAS pada Sabtu.
Menurut APMM, sepanjang 9 bulan latihan, pelatih ini telah menjalani pelbagai latihan yang melibatkan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi selain penerapan semangat berpasukan dan pengetahuan khusus dalam bidang pengoperasian kapal serta penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
Katanya, Anugerah Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh Laskar Kelas II Maritim Abdullah Mohamad Nazri berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.
“Laskar Kelas II Maritim Noor Askinah Bintang berasal dari Lahad Datu, Sabah telah dinobatkan Anugerah Terbaik Laskarnita dan Anugerah Terbaik Akademik pula diberikan kepada Laskar Kelas II Maritim Nik Nur Amirah Nik Azman berasal dari Pasir Puteh, Kelantan
“Manakala Anugerah Terbaik Kawad pula jatuh kepada Laskar Kelas II Maritim Mohd Aznydzam Mohamad Japar berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Anugerah Terbaik Sukan dinobatkan kepada Laskar Kelas II Maritim Erwan Kornelis @ Amran berasal dari Semporna, Sabah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, APMM berkata, sebaik tamat Perbarisan Tamat Latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 ini, kesemua anggota ini akan ditempatkan di kapal-kapal untuk meneruskan latihan sambil kerja (OJT) selama 4 bulan sebelum disahkan dalam perkhidmatan.
“OJT ini akan mendedahkan mereka dalam aspek praktikal pengoperasian kapal yang melibatkan pandu arah am, komunikasi, mengawal kebakaran dan mencegah kerosakan kapal serta latihan pemeriksaan atau penggeledahan kapal termasuk bot,” jelasnya.
Mengulas lanjut, pertambahan anggota ini dilihat satu perkembangan positif seiring dengan pertambahan aset APMM seperti perolehan 30 bot jenis Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Perkasa bernilai RM 46.5 juta bagi keperluan tugas dan operasi di setiap Maritim Negeri.
Selain itu, dalam tempoh beberapa tahun lagi APMM juga dijangka menerima aset baharu termasuk helikopter dan 3 kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) di mana satu daripada 3 kapal ini dijangka akan diterima pada awal tahun hadapan.
“Perolehan aset-aset baharu ini dapat memperkukuhkan pengoperasian penguatkuasaan dan operasi mencari dan menyelamat di sepanjang perairan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain menggantikan aset sedia ada yang sudah menjangkau usia,
“APMM juga sedang giat memperkukuh aspek keupayaan sumber manusia yang kini sudah mencapai 90.76 peratus daripada 5,303 jumlah perjawatan yang telah diluluskan dengan 490 perjawatan akan di isi sepenuhnya menjelang tahun 2026,
“Namun APMM melihat pertambahan 4,000 perjawatan lagi diperlukan bagi membolehkan agensi beroperasi di tahap maksima berdasarkan Perancangan Pelan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSM 2040),” tegasnya lagi. – airtimes.my