Home Politik PRU15: Pemimpin dan ahli Gerakan Tanah Air bersih dari jenayah – Tun M

PRU15: Pemimpin dan ahli Gerakan Tanah Air bersih dari jenayah – Tun M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, calon-calon GTA yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terdiri dari ahli badan bukan kerajaan (NGO), tokoh akademik, professional dan parti politik.

Beliau berkata, pemimpin dan ahli GTA bersih dari segala jenayah dan tidak berkepentingan peribadi.

“Dengan menggembleng rakyat yang cinta negara dan bertanding dalam PRU15, rakyat akan ada pilihan selain dari parti politik biasa,

“Terdapat dalam GTA semua rakyat dari semua lapisan. Akan ada NGO, badan-badan sosial dan individu patriotik, para akademik serta professional. Tidak ada ideologi bagi mereka selain dari cinta pada negara bangsa,

“Beberapa parti politik turut bersama dalam GTA dan mengenepikan perjuangan untuk parti sendiri. Mereka diperlukan supaya susunan pencinta negara dari berbagai puak dapat diurus sesuai dengan Pilihan Raya,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Katanya, GTA bukan parti politik biasa sebaliknya ia adalah gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik.

“Mereka tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam negara dan mendapati tidak ada satu pun parti politik yang memenuhi kehendak negara,

“Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasil kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara,” ujarnya.

Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, ramai yang kecewa dengan keadaan politik dalam negara dan milih untuk mengasingkan diri dari politik.

“Ramai pula yang tidak akan mengundi. Malangnya kerana mereka tidak mengundi, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mereka tolak,

“Antara yang akan menang ialah parti perasuah yang menyogok wang kepada pengundi. Dengan itu negara akan alami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum PRU,

“Untuk mengadakan badan yang lebih menepati kehendak puak yang kecewa ini parti politik biasa tidak sesuai,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Tun Dr Mahathir berkata, apa yang diperlukan ialah satu gerakan rakyat yang menyatukan mereka yang tidak berparti.

“Mereka perlu digabung dalam satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan kemajuan negara,” tegasnya.

Jelasnya, dengan sokongan dari semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU 15 dan mendiri Kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang, kepada Perlembagaan dan kesejahteraan rakyat dan negara. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply