Home Semasa JAWI tidak teruskan pertuduhan pada Nuramira – Ketua Pendakwa Syarie

JAWI tidak teruskan pertuduhan pada Nuramira – Ketua Pendakwa Syarie

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Jul – Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan membuat keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap wanita kontroversi yang didakwa menghina agama, Siti Nuramira Abdullah di Mahkamah Syariah.

Ketua Pendakwa Syarie berkata, keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Siti Nuramira adalah bagi mengelakkan wanita itu dituduh di 2 mahkamah berbeza.

Jelasnya, keputusan itu dibuat mengikut seksyen 58 (2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

“Pertuduhan jenayah sudah dimulakan di Mahkamah Sivil pada 13 Julai lalu di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan. Maslahah (memelihara tujuan syarak) dari sudut pentadbiran keadilan bagi mengelakkan tertuduh dituduh di 2 mahkamah berbeza bagi mencapai matlamat sama iaitu untuk dihukum atas kesalahan yang dilakukan,

“Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Sesuai dengan maqasid (matlamat) syariah yang menekankan pendekatan ta’dib dalam pentadbiran jenayah syariah diharap dapat membawa kembali tertuduh ke arah amalan Islam sebenar,” katanya dalam kenytaan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu lagi, kes berkenaan sudah didaftarkan pada 13 Julai lalu berdasarkan siasatan awal yang dijalankan terhadap Siti Nuramira dan sebutan pertama ditetapkan pada 14 Julai tetapi ditangguhkan pada 21 Julai ini (esok).

Tambahnya, wanita itu ditahan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama semalam untuk siasatan lanjut.

Semalam, Siti Nuramira ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sejurus dibebaskan dengan jaminan berkaitan pertuduhan menghina Islam yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wanita itu sepatutnya dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, tetapi telah dibebaskan JAWI malam tadi.

Sebelum ini, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 6 petang, 4 Jun lepas mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Manakala, Alexander Navin pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas 2 pertuduhan iaitu membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’, pada 5 Jun dan 16 Jun lepas. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply