Home Semasa Hanya kerana salam tak pandang muka, lelaki ditampar

Hanya kerana salam tak pandang muka, lelaki ditampar

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=1V3-tmk4UVs[/embedyt]

 

MANJUNG, 20 Jul – Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menampar kepala jemaah selepas menunaikan solat di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada mangsa lelaki berusia 30-an yang berkhidmat sebagai anggota TLDM.

Kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.

Terdahulu, satu video berdurasi 37 saat yang memaparkan kejadian dipercayai seorang lelaki memukul kepala seorang Jemaah di masjid tersebut tular di aplikasi Twitter sejak Selasa.

“Setelah selesai solat asar di masjid itu, mangsa telah bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali,

“Tiba-tiba, suspek telah menampar belakang kepala mangsa dan mengenai telinga sebelah kanan dengan kuat menyebabkan mangsa mengalami sakit di bahagian belakang kepala serta telinga,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, hasil siasatan awal kejadian tersebut berpunca kerana mangsa tidak memandang muka suspek semasa bersalaman dan menyebabkan beliau berang serta beranggapan mangsa bersikap kurang ajar.

“Kedua-dua pihak dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,

“Hasil rakaman percakapan, mangsa dalam kes ini tidak mahu untuk meneruskan siasatan dan telah menarik semula laporan polis serta kes telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” ujarnya.

Nor Omar menasihat dan menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video tersebut kerana kes ini telah selesai. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply