Home Semasa “Yang bermasalah, mulut jahat wanita DAP” – Tajuddin

“Yang bermasalah, mulut jahat wanita DAP” – Tajuddin

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=cS2NZP_XJIQ[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 20 Jul – Perbahasan Dewan Rakyat sekali lagi menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggelar sebahagian Ahli Parlimen wanita DAP berperangai tidak senonoh dan bermulut jahat.

Perkara itu dibangkitkan ekoran kenyataan daripada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang mendakwa dirinya sering membuat kenyataan berbaur seksi kepada Ahli Parlimen wanita.

Tajuddin menyifatkan tuduhan tersebut tidak wajar walhal banyak dilakukannya dalam membantu wanita dan membidas beberapa wanita DAP sebaliknya sering bersikap tidak senonoh kerana suka mencetuskan provokasi.

“Jangan senang-senang tuduh kita tak hormat wanita, kita banyak membantu wanita…tolong ajar sikit,

“Mereka tidak tahu bagaimana kami jaga maruah wanita. Kamu tidak tahu, bagaimana kami jaga wanita. Tanya wanita UMNO, kami jaga macam mana,

“Yang bermasalah ialah wanita DAP, bukan semua tetapi beberapa wanita DAP. Perangai tidak senonoh, mulut jahat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual di Dewan Rakyat, di mana Tajuddin mencelah ketika Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sedang berbahas.

Tuduhan Tajuddin itu mencetuskan kekecohan apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit memohon Ahli Parlimen Pasir Salak itu menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) kemudiannya meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengambil tindakan terhadap Tajuddin.

Dalam masa yang sama, AP Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer turut meminta Tajuddin menarik semula kenyataannya yang didakwa menjatuhkan maruah wanita dan mempersoalkan tindakan Timbalan Yang Dipertua kerana tidak berani mengarahkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu keluar.

Mohd Rashid kemudiannya memberi amaran kepada Tajuddin supaya tidak mengulangi kenyataannya itu dan meminta Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati supaya membuat usul.

Selepas perbalahan antara Tajuddin dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, Ahli Parlimen Pasir Salak itu diarah keluar Dewan oleh Rashid.

Semalam, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual, Ahli Parlimen Kulai, Nie Ching mendakwa sekurang-kurangnya ada 3 Ahli Parlimen iaitu Kinabatangan, Pasir Salak dan Baling sering membuat kenyataan berbaur seksis kepada wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply