Home Semasa Polis nafi sindiket culik, jual organ kanak-kanak

Polis nafi sindiket culik, jual organ kanak-kanak

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan mesej yang tular di media sosial berkaitan kegiatan penculikan kanak-kanak untuk tujuan penjualan organ mereka di negara jiran.

Ketua Komunikasi Korporat Urusetia KPN, PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, mesej palsu itu meminta masyarakat agar berwaspada berkaitan kejadian penculikan sekumpulan kanak-kanak yang diberi bahan terlarang, sehingga tidak mampu bercakap dan dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.

“Kononnya pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan menjumpai 6 enam kanak-kanak di dalam kenderaan itu,

“3 daripada kanak-kanak itu pula dikatakan tidak boleh bercakap kerana telah disuntik dengan ubat kimia dan akan dihantar ke negara jiran untuk dibunuh serta organ dalaman mereka dijual,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti didakwa oleh mesej tular itu.

Tegasnya, semakan polis juga sebenarnya mendapati mesej palsu itu telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya.

Skandaguru turut menegaskan, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply