Home Semasa Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian – Sultan Johor

Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian – Sultan Johor

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 24 Jun – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah menegaskan perhimpunan jalanan yang dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukan cara bertanggungjawab dalam mencari jalan penyelesaian yang membina.

Baginda bertitah, suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang. Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu,

“Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada Jumaat.

Baginda bertitah perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan pemulihan negara daripada pandemik COVID-19.

“Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” titah Baginda.

Sebelum ini, anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat untuk berhimpun sebagai tanda isyarat kepada kerajaan membantah kenaikan kos sara hidup.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak menarik balik subsidi yang diberikan kepada rakyat, malah meningkatkan lagi pemberiannya bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini. -airtmes.my

 

Related Articles

Leave a Reply