Home Semasa Johor benar ibadah korban di masjid dan surau

Johor benar ibadah korban di masjid dan surau

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Kerajaan Johor memutuskan pelaksanaan ibadah korban bagi sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dibenarkan dilakukan di masjid atau surau.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berkata, pelaksanaan aktiviti di kedua-dua rumah ibadat itu tetap tertakluk kepada beberapa peraturan yang ditetapkan.

“Bagi aktiviti ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1443 Hijrah, kerajaan negeri memutuskan ia dibenarkan dilaksanakan di Rumah Penyembelihan yang berdaftar dengan Pejabat Perkhidmatan Vaterina Daerah,

“Ibadah korban juga dibenarkan dilakukan di kawasan masjid dan surau tetapi harus mempunyai ruang penyembelihan khusus yang lengkap dengan kebenaran Pejabat Kadi Daerah serta Pejabat Perkhidmatan Vaterina Daerah,

“Sekiranya masjid dan surau tiada ruang serta kelengkapan tersebut, maka hanya dibenarkan untuk aktiviti memotong daging, membungkus termasuk edaran sahaja,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk MD Rofiki Samsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Jelasnya, pelaksanaan ini mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri sebagaimana peruntukan fasal 57 (A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003.

Selain itu, bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau, kerajaan Negeri Johor turut membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid serta surau dengan cara merapatkan saf termasuk jemaah yang hadir digalakkan membawa sejadah sendiri.

“Kebenaran itu juga menetapkan beberapa peraturan seperti pemakaian pelitup muka dikekalkan, bersalaman antara jemaah tidak digalakkan,

“Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti Kelas Pengajian Takmir, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Majlis Zikir dan seumpamanya adalah dibenarkan,

“Segala aktiviti memasak dan jamuan adalah dibenarkan dalam kawasan masjid serta surau,

“Majlis Perkahwinan dibenarkan diadakan bagi masjid dan surau yang mempunyai dewan serbaguna,” tambahnya.

Tahun lalu, pelaksanaan aktiviti korban di Johor hanya dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar dengan pejabat perkhidmatan veterinar daerah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 di dalam negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply