Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Zahid berhenti ‘berpolitiking’ seketika, tiada keperluan segerakan PRU15 – PAS

Zahid berhenti ‘berpolitiking’ seketika, tiada keperluan segerakan PRU15 – PAS

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jun – PAS menyeru kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berhenti seketika daripada ‘berpolitiking’ kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan apabila menggesa agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Ketua Penerangan PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, Ahmad Zahid seharusnya memberikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“PAS menyeru kepada Presiden UMNO untuk berhenti seketika daripada ‘berpolitiking’ kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan,

“Beliau seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini,

“Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi. Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Pada masa sama, Khairil turut menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk menasihati Ahmad Zahid agar tidak memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk segerakan PRU15.

“Sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Presiden UMNO haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan,” ujarnya.

Katanya, tujuan PAS menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH), tanpa mengheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti.

“Sepertimana Presiden UMNO mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi,

“Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri,

“Berikan sokongan tidak bersyarat kepada Perdana Menteri untuk beliau dan kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply