Home Pertahanan dan Keselamatan JIM gempur premis hiburan, 12 PATI ditahan

JIM gempur premis hiburan, 12 PATI ditahan

by Air Times News Network

SANDAKAN, 12 Jun – Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dan Indonesia ditahan Jabatan Imgiresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan terhadap sebuah premis hiburan di kawasan Bandar Indah, Batu 4 Jalan Utara, pada Jumaat lepas.

Pengarah Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof dalam satu kenyataan berkata, dalam Operasi (Op) Gegar jam 11.25 malam di pusat hiburan tersebut seramai 40 orang telah diperiksa.

“Seramai 12 orang telah ditahan iaitu 6 orang lelaki dan 5 wanita warganegara Filipina serta seorang lelaki warga Indonesia,

“Kesemua PATI yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta berumur antara 17 hingga 32 tahun,

“Semasa serbuan dilakukan ada yang berhibur sebagai pelanggan dan selebihnya adalah pekerja di premis tersebut,” ujarnya.

Menurut Sh Sitti Saleha, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 48 tahun turut ditahan semasa serbuan tersebut yang disyaki sebagai majikan premis tersebut.

“Suspek akan disiasat di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja warga asing yang tidak memiliki pas yang sah dan Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan imiran haram berada dalam premis berkenaan,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!