Home Semasa Polis tahan suspek kes tembak mati di Bukit Bintang

Polis tahan suspek kes tembak mati di Bukit Bintang

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan suspek kes tembak mati di sebuah hotel di Jalan Bulan Off Jalan Bukit Bintang, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun yang merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan tersebut.

“Pada 4 Mei jam lebih kurang 8.15 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Dang Wangi telah menahan 2 lelaki warga tempatan,

“Kedua-dua suspek berumur 47 hingga 51 tahun turut terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Tambahnya lagi, hasil penahanan yang dilakukan pihak polis turut merampas 2 pucuk pistol jenis Revolver 38 dan semi auto Beretta bersama 14 butir peluru serta satu kelopak.

“Turut dirampas sebuah motorsikal jenis RS150 warna merah, 2 buah topi keledar warna hijau dan putih serta 2
helai baju.

“2 helai seluar panjang, 2 pasang kasut sukan, satu topi, dan satu beg silang bersama 3 telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas dalam serbuan tersebut,” ujarnya.

Azmi menjelaskan, pihak polis percaya kejadian berlaku ketika mangsa dan semua suspek sedang menjalankan urusan berkaitan dadah di dalam bilik hotel berkenaan.

“Hasil semakan mendapati mangsa yang berasal dari Johor, mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah, culik dan bunuh, manakala suspek utama yang ditahan pula memiliki 7 rekod lampau berkaitan dadah,

“Suspek utama direman selama 6 hari bermula Rabu dan 2 lagi suspek yang ditahan pula dihadapkan ke Majistret bagi mendapatkan kebenaran reman, semalam (Khamis),” katanya.

Menurutnya lagi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

Terdahulu, seorang lelaki warga tempatan telah ditemui mati terbaring disebuah hotel dekat Jalan Bukit Bintang dengan kesan tembakan di kepala. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply